Friday, February 6, 2009

Hak Wanita

Namun kedatangan Nabi s.a.w. adalah rahmat bagi wanita. Baginda telah membela dan mempertahankan hak mereka. Bayangkan, dalam keadaan dunia sekeliling menafikan hak-hak wanita dan mempersendakannya, tiba-tiba insan yang bernama Muhammad bin Abdillah bangun dengan perintah wahyu membela hak mereka.

Islam telah mencatatkan di dada sejarah bahawa dirinya adalah pembela agung wanita yang tiada tolok bandingnya. Sebelum kedatangan Islam, hak-hak wanita tidak dibincangkan atas nama sistem agama atau tanggungjawab keagamaan dalam wajah yang lengkap. Jikapun ada pembelaan hak mereka adalah atas ihsan dan simpati lelaki semata. Bahkan dalam sesetengah masyarakat, wanita dianggap sial dan tidak mempunyai nilai. Dalam masyarakat Babylon, jika suami membunuh seseorang, maka isterinya dihukum mati menggantikan tempatnya. Masyarakat Greek menganggap wanita lebih rendah nilainya dari lelaki. Pelacuran pula adalah amalan biasa di setiap peringkat dalam masyarakat Greek dan Rom. Masyarakat Mesir kuno menganggap wanita adalah lambang syaitan. Sementara masyarakat Arab pula mewarisi tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup. Masyarakat Hindu lebih dahsyat membakar seorang isteri bersama dengan mayat suaminya. Ini menyebabkan bekas ketua Hakim Mahkamah Delhi, Mr. Rajindar Sachar pernah menyebut: “Dari segi sejarahnya, Islam telah lama begitu terbuka dan progresif dalam memberikan hak pemilikan harta untuk kaum wanita. Suatu hakikat yang pasti bahawa tiada hak pemilikan harta yang diberikan kepada wanita Hindu sehinggalah tahun 1956. Ini apabila Hindu Code Bill dihapuskan. Sedangkan Islam telah pun memberikan hak-hak ini kepada wanita Muslim sejak seribu empat ratus tahun yang lampau. (Wahidudin Khan, Women Between Islam and Western Society, hlm. 46.)

Namun kedatangan Nabi s.a.w. adalah rahmat bagi wanita. Baginda telah membela dan mempertahankan hak mereka. Bayangkan, dalam keadaan dunia sekeliling menafikan hak-hak wanita dan mempersendakannya, tiba-tiba insan yang bernama Muhammad bin Abdillah bangun dengan perintah wahyu membela hak mereka. Hadis-hadis Nabi yang membela dan mempertahankan wanita begitu banyak dan jelas, antaranya daripada Urwah bin al-Zubair bahawa Aisyah isteri Nabi menceritakan kepadanya, kata Aisyah: Telah datang kepadaku seorang wanita bersama dua orang anak perempuannya meminta (makanan) daripadaku sedangkan tiada padaku melainkan sebiji tamar. Aku berikan kepadanya, lalu dia membahagikannya untuk kedua anaknya. Kemudian dia bangun dan keluar. Apabila Nabi masuk, aku pun menceritakan kepadanya, lalu baginda bersabda: Sesiapa yang mengendalikan sesuatu urusan anak-anak perempuan lalu dia melakukan kebaikan kepada mereka maka mereka menjadi penghalang dari api neraka untuknya (Riwayat al-Bukhari 5/2234 dan Muslim 4/2027).

Daripada Ibn Abbas, seorang gadis dara datang kepada Nabi memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

Maka dalam Sahih al-Bukhari, ada bab Iza Zauwaja Ibnatahu wahiya karihah fanikahu mardud (Apabila bapa mengahwinkan anak perempuannya, sedangkan anak perempuan itu tidak suka maka nikah itu ditolak).

Namun masyarakat Melayu dahulu, apabila begitu terikat dengan mazhab al-Imam al-Syafii maka mereka membiarkan bapa memaksa anak-anak perempuan berkahwin dengan pilihan bapa sekalipun dibantah oleh anaknya atas alasan bapa wali mujbir. Mereka tidak bersikap terbuka menyemak dalil dan mengambil manfaat daripada para sarjana Islam yang lain. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Siapa tahu, jika al-Syafii hidup di zaman kita dan melihat kemajuan pengetahuan dan ilmu yang dicapai oleh anak gadis hari ini, sehingga mereka mampu menilai lelaki yang datang meminang mereka, atau jika mereka kahwin tanpa kerelaan akan menyebabkan kehidupan rumah tangga menjadi neraka, barangkali jika al-Syafii melihat hal ini dia akan mengubah pendapatnya seperti mana dia telah mengubah banyak pendapatnya.” (al-Qaradawi, Al-Fatawa al- Mu‘asarah, 337-338, Beirut: Dar Ulil al-Nuha). Namun paksaan seperti itu sudah jarang kedengaran lagi. Masyarakat berubah, pandangan mazhab sudah tidak relevan lagi dalam bab tersebut. Mengambil manfaat dari pendapat lain adalah satu keperluan.

Hak wanita

Di sana begitu banyak nas-nas sama ada dari al-Quran atau al-Sunah yang membela hak wanita. Namun adalah mengejutkan, setelah keadilan gender ini ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya, tiba-tiba kita sering mendengar aduan atau rasa tidak puas hati wanita Islam yang berleluasa terhadap Mahkamah Syariah atau pejabat agama. Sehingga ada wanita yang memberitahu bahawa antara sebab beliau ingin keluar agama adalah layanan agama yang diberikan kepadanya. Setiap kali beliau mengangkat kes tentang kezaliman suami kepadanya, beliau diberi nasihat agar bersabar, Allah bersama-sama dengan orang yang sabar. Sedangkan dirinya semakin hari semakin menjadi mangsa. Bahkan ada yang lebam-lebam matanya, masih disuruh bersabar. Tidak pula ‘pasukan gerak khas’ antimaksiat bertindak pantas mencegah kemungkaran suami yang menyeksa isteri, sepantas pencegahan khalwat yang terpaksa mengintip dengan penuh kesabaran. Sedangkan perbuatan memukul isteri secara zalim ini adalah mungkar yang nyata.

Ada wanita yang memaklumkan bahawa mereka takut hendak ke pejabat-pejabat agama, nanti akan berhadapan dengan pengurusan yang ‘tidak mesra’. Sama ada dakwaan itu palsu atau benar, saya tidak pasti. Namun dakwaan seperti itu sering sahaja kedengaran. Apa pun halnya, yang penting penghormatan kepada kaum wanita dan memberikan layanan yang baik kepada mereka adalah ajaran Islam yang agung ini. Daripada Abu Sa‘id al-Khudri: Wanita-wanita berkata kepada Nabi: “Kaum lelaki telah mendapat engkau melebihi kami. Jadikanlah satu hari engkau untuk kami. (Baginda pun lakukan) maka baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka (memberitahu suruhan agama). Antara yang baginda sebut kepada mereka, Tidak ada di kalangan kamu yang mendahulu tiga orang anaknya (meninggal semasa hayatnya) melainkan ia menjadi dinding dari api neraka. Tanya seorang wanita: “Dua orang anak?” Jawab baginda: (Ya) dua orang anak juga.

Baginda dalam hadis ini memberikan kesempatan untuk golongan wanita belajar dan membuat peruntukan khas dari baginda apabila didapati kaum lelaki telah mendominasi mereka sehingga mereka tidak mempunyai kesempatan yang cukup.

Kes-kes isu talak yang tertangguh perbicaraannya sampai bertahun-tahun masih berterusan kita dengar sehingga hari ini. Walau apa pun alasan yang cuba diberikan oleh Mahkamah Syariah, ia pada hakikatnya tidak lebih dari kezaliman terhadap wanita. Sama ada disebabkan kongkongan kesempitan pemikiran hukum atau pengurusan yang kurang kualiti atau tenaga yang dibekalkan tidak mencukupi. Sehingga kadangkala susah benar nampaknya untuk dipisahkan isteri daripada suaminya sekalipun ternyata kemudaratan telah berlaku. Padahal pada zaman Nabi isteri Thabit bin Qais datang menemui Nabi lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka Rasulullah pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia (Riwayat al-Bukhari).

Membenci kekufuran dalam Islam bermaksud penderhakaan terhadap suami yang akhirnya menyerupai kaum yang tidak beriman. Ada juga para ulama yang mentafsir bermaksud terdesak menjadi kufur kerana ingin membebaskan diri dari suami. Kata Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H): “Sesungguhnya wanita apabila membenci suaminya disebabkan akhlak atau rupa paras atau agama atau usianya yang tua atau lemah atau seumpamanya dan dia takut tidak dapat menunaikan perintah Allah dalam mentaati suami, maka harus baginya untuk khulu’ (tebus talak) dengan bayaran gantian untuk dirinya. Ini berdasarkan firman Allah: 229. Jika kamu takut keduanya (suami isteri) tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (Ibn Qudamah, al-Mughni, 10/267, Kaherah: Hijr).

Allah dan Rasul-Nya mengharamkan talak bid‘i iaitu mentalak isteri ketika haid atau ketika suci tapi telah disetubuhi. Tujuannya untuk meringankan bebanan tempoh edah ke atas isteri. Hikmahnya mungkin agar tidak lama isteri menunggu edah iaitu tidak lebih dari tiga kali suci juga tidak terdedah kepada risiko hamil. Tujuan dan maksud hukum-hakam Allah dan Rasul- Nya amat kudus dan mulia. Mana mungkin pengurusan syariah seperti Mahkamah Syariah dan jabatan agama yang ditubuhkan untuk mencapai kemurnian hasrat syarak tiba-tiba menjadi faktor yang membantutkannya. Ini seperti penangguhan kes-kes talak yang begitu lama. Tidak syak ia adalah satu kezaliman terhadap wanita.

Lebih malang lagi, wajah Islam yang mulia ini terguris apabila ada ‘ustazah tv’ yang sanggup membawa cerita palsu bahawa wanita yang terbaik pada zaman Nabi ialah seorang wanita yang setiap hari menunggu suaminya pulang kerja dengan menyediakan makanan dan rotan. Jika suaminya mahu, suami dipersilakan merotankan dirinya walaupun tanpa sebab. Kisah yang seperti ini di samping tidak berasas, ia hanya memalukan agama yang agung ini. Ini masalah stesen televisyen jika hanya mementing orang yang ‘pandai cakap’ bukan ketepatan fakta. Akhirnya kesucian Islam menjadi mangsa.

Di samping itu saya juga suka mengingatkan kepada para pejuang hak wanita atau hak-hak yang lain tentang keseimbangan Islam ini. Al-Tawazun atau al-Wasatiyyah merupakan salah satu ciri-ciri perundangan Islam yang istimewa. Ia bermaksud pertengahan di antara dua keadaan atau pihak. Di mana ketika Islam membela kepentingan satu pihak tidak menyebabkan dicuaikan kepentingan pihak yang lain. Dalam konteks ini, kita maksudkan bahawa pembelaan Islam terhadap hak kaum wanita tidak menyebabkan dipinggirkan atau diabaikan kepentingan dan hak kaum lelaki. Pembelaan Islam terhadap hak isteri umpamanya, tidak menyebabkan diabaikan hak suami. Pembelaan hak ibu, tidak menyebabkan dialpakan hak seorang bapa. Pembelaan hak anak perempuan tidak menyebabkan disia-siakan hak seorang ayah dan ibu. Begitulah seterusnya. Malangnya, kadang-kadang pembelaan hak-hak kaum wanita yang dilakukan oleh sesetengah pihak tanpa merujuk dan mengikuti nas- nas Islam secara menyeluruh sehingga boleh menyebabkan ketidak seimbangan. Mereka ini kerana terlalu ingin membela kaum wanita sehingga melupai hak kaum lelaki. Hal ini berbeza dengan Nabi ketika membela hak kaum wanita, juga mengimbanginya dengan hak kaum lelaki.

Hak Muslim

Demikian juga apabila kita membela hak Muslim, kita jangan terlalu emosi sehingga menzalimi bukan Muslim. Islam itu adil untuk semua. Sebab itu ana meletakkan tema untuk blog ana islam untuk semua. Begitu juga yang begitu ingin membela hak rakyat sehingga melupai hak pemerintah untuk dihormati dan tidak dimaki. Atau jangan sibuk membela hak pemerintah lalu diketepikan hak rakyat sehingga mereka tertindas. Renungilah kata-kata tokoh sarjana agung umat ini Syeikh al- Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H): “Sesungguhnya agama Allah adalah pertengahan antara yang melampau mengenainya dan yang meninggalkannya. Allah tidak memerintahkan hamba-hamba-Nya sesuatu perintah melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya. Iaitu sama ada secara ifrat (melampaui batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrit (cuai terhadap agama).” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, jld 2/hlm. 236).

Dalam kisah Abu Darda yang tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata: “Sesunguhnya untuk Tuhanmu ada hak (tanggungjawab) ke atasmu, untuk badanmu ada hak (tanggungjawab) ke atasmu dan untuk isterimu ada hak (tanggungjawab) ke atasmu. Berikan kepada setiap yang berhak haknya.” Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, baginda berkata: Benarlah Salman (Riwayat al-Bukhari).

Pembelaan hak yang tidak seimbang, menghilang kecantikan susunan masyarakat dan keindahan ajaran yang suci ini.

Sahabat Kerana Allah


Antara kemanisan hidup ini apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan.

Namun hal yang seperti ini amat sukar untuk diperolehi di dunia ini, sekalipun ramai yang selalu mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Kita tidak tahu sejauh manakah dakwaan itu sebelum adanya ujian yang sebenar. Ramai yang pernah mendakwa sedemikian tetapi terbukti berbohong apabila ujian datang melanda.

Bahkan banyak persahabatan dalam dunia ini pun terjadi di atas kepentingan tertentu. Maka tidak hairan jika ia akan berakhir disebabkan kepentingan tertentu jua. Bahkan ada persahabatan yang diasaskan di atas kejujuran namun berakhir disebabkan kepentingan.
Memiliki persahabatan yang jujur dalam ertikata yang sebenar adalah nikmat kehidupan. Namun ia sebenarnya sukar untuk diperolehi secara meluas di alam maya ini melainkan dalam sejarah kehidupan golongan yang beriman dalam makna yang sebenar. Bahkan baginda Nabi s.a.w. menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai sahabat tanpa kepentingan melainkan kerana Allah semata, maka dia akan mengecapi kemanisan iman.

Sabda baginda: “Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya sahaja yang dapat mengecapi kenikmatan dan kekusyukannya. Dalam tiga ciri tersebut, baginda s.a.w nyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah, akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan iman hanya pemiliknya yang faham.

Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang kerana Allah semata? Pastilah dek kita tahu hubungan dan kasih sayang kita kepadanya mendapat keredhaan Allah. Mungkin kerana dia orang yang dekat kepada Allah, atau dia boleh menjadi faktor kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Apabila perasaan yang seperti itu terbina, kita akan dapat merasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana Allah. Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta.

Hubungan persahabatan seperti itu tidak ada di alam gelora manusia yang yang berkawan dengan seseorang kerana kepentingan atau kedudukan atau harta. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya) “Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatu-padukan di antara jantung hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Anfal: 63).

Ia hanya wujud dalam alam persahabatan yang dibina atas nama Iman dan Islam. Maka kita akan lihat kesetiaan antara para pejuang Islam yang ikhlas sepanjang sejarah penuh dengan keajaiban. Mereka hapuskan dalam dairi hidup mereka perkataan khianat, kebencian dan permusuhan dari belakang, lalu digantikan dengan “aku kasihkan engkau kerana Allah”.
Kasih itu berkekalan semasa sahabatnya di puncak atau berada di bawah. Samada sahabatnya masih hidup, atau setelah meninggalkan dunia ini. Ini kerana tempat rujuk kasih mereka Maha Tinggi Lagi Tiada Kesudahan bagiNya, iaitu Allah s.w.t. Lihatlah sahabah Nabi s.a.w. Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang Nabi s.a.w. lalu dibawa untuk dibunuh dan Abu Sufyan –ketika itu belum menganut Islam- bertanya kepadanya: “Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu”.

Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia berada sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku”. Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah). Ya! Kasih yang mengharapkan hanya ganjaran Allah. Inilah kasih para pejuang yang sebenar antara mereka.

Persahabatan kerana Allah, memberi tanpa minta diganti, menyokong tanpa minta disanjung, memuji tidak kerana budi, berkorban tanpa menuntut ganjaran. Namun semuanya hanya mengharapkan kurniaan Allah jua yang menjadi punca kecintaan dan kasih sayang itu mekar antara satu sama lain. Sudah pastilah persahabatan itu dibina atas kebenaran yang sentiasa tunduk dan patuh kepada titah Allah dan RasulNya. Alangkah indahnya suasana ini.
Justeru itu Allah memuji golongan Muhajirin dan Ansar lalu dirakam kasih sayang antara mereka dalam al-Quran: (maksudnya) ”Bagi golongan fakir yang berhijrah, yang mereka diusir dari kampung halaman dan harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredhaanNya. Mereka menolong (agama) Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Orang-orang yang telah mendiami kota (Madinah) dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka itu (Muhajirin), mereka mencintai orang berhijrah kepada mereka.


Mereka tiada menaruh sebarang keinginan (balasan) dalam dada mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada Muhajirin. Mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. Adapun orang-orang yang datang selepas mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang” (Surah al-Hasyar 8-10).

Hanya insan-insan yang seperti ini sahaja yang akan merasa manisnya perjuangan yang mereka bawa. Ini kerana mereka jelas matlamat yang hendak dituju dan jalan yang hendaklah dilalui. Bebas dari kepentingan diri, yang tinggal hanya kepentingan cita-cita yang suci. Maka tidak ada cerita jatuh-menjatuh antara mereka kerana jawatan dan pangkat.
Sebaliknya, sering ingin memberi kerana matlamat mereka adalah keredhaan Allah. Ia tidak dicapai dengan tumpas menumpas sesama pejuang yang betul niat dan tujuannya. Sebaliknya keredhaan itu dicapai dengan sering tolong menolong kerana Allah. Jika itu tidak ada, perjuangan itu untuk dunia semata dan pasti dalamnya penuh kepahitan walaupun pada zahir ada harta dan kemewahan.

Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”.

Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”.

Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Inilah golongan yang dilindungi Allah pada hari kiamat. Di dunia mereka mendapat kenikmatan persahabatan yang jujur dan ikhlas, di akhirat mereka dilindungi Allah.

Nilai persahabatan bukan pada wang atau peluang yang diberi. Atau kedudukan dan kerusi yang disogokkan. Semua itu tiada erti, jika ‘ada udang di sebalik mee’. Sesungguhnya senyuman ikhlas seorang sahabat sejati, lebih bererti dari dunia dan segala isinya, sehingga Nabi s.a.w menyebut: “Senyumanmu buat wajah saudaramu itu adalah sedekah” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Mendengarnya sahaja amat memeritkan, apatah lagi jiwa yang mengalaminya. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina di atas kepentingan diri masing-masing. Ditikam oleh musuh, tidak seperit pedihnya seperti ditikam oleh sahabat yang rapat. Dirompak oleh perompak tidak sekecewa ditipu oleh rakan yang dipercaya. Dijatuh oleh lawan tidak sedahsyat direbahkan oleh teman seperjuangan.

Namun itu realiti dalam maya pada ini bagi hubungan sesama insan yang tidak dibina atas nama tuhan. Jika ada pihak yang jujur dalam persahabatan, tetapi pengkhianatan berlaku bererti samada dia silap memilih teman, atau prinsip perjuangan. Maka dalam memilih sahabat, lihatlah hubungannya dengan tuhan dan atas apa kita membina persahabatan dengannya.
Saya rasa dalam dunia perniagaan dan politik, persahabatan sejati amat sukar untuk dicari. Bukan perniagaan, atau politik itu kotor; kedua-duanya termasuk dalam ajaran Islam. Namun kedua bidang itu apabila tidak berpandukan ajaran Allah dan RasulNya maka akan menjadi sangat rakus, biadap, penuh dengan kepura-puraan, tidak berprinsip, tidak menghargai rakan dan taulan, bicara dan bahasanya penuh dengan kemunafikan.

Kepentingan diri masing-masing kadang kala bagai tuhan yang disembah. Sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan diri, apa yang dia tidak akan lakukan jika perintah oleh tuhan yang sebenar pun. Banyak perintah agama dia kata tidak mampu, namun jika ada kepentingan politik atau urus niaga lebih daripada itu dia sanggup lakukan.

Firman Allah dalam Surah al-Jathiah, ayat 23: (maksudnya): “Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana pengetahuanNya (tentang kekufuran mereka), dan ditutup pula atas pendengarannya dan jantungnya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikannya berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu tidak mengingati?.

Betapa ramai orang politik yang dikelilingi oleh para pengikutnya, lalu kesemua mereka hilang apabila kuasa tiada lagi di tangan. Pada hari dia berkuasa; semuanya menjerit dan memuja, seakan sanggup hidup dan mati bersama. Namun apabila dia tidak mampu lagi memberi harta, pangkat dan kedudukan, melintas pun belum tentu mereka bersalaman.

Telah banyak bukti hidup dan mati yang tidak dapat dihitung lagi. Bahkan ada yang sehingga mati pun tidak dikunjungi. Namun jika anda berharta, sehingga ke pusara ada yang masih tunjuk muka. Bukan kerana kenang jasa, tapi kenang apa yang boleh dipusaka.

Tanpa iman, tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Sepatutnya orang kaya, atau orang politik jangan terlalu bangga apabila anda dipuji. Belum tentu ianya ikhlas dari hati sanubari. Mungkin diri anda atau perkara yang sama jika anda lakukan pada hari anda tiada kuasa atau harta, orang sama akan mencebik dan menghina anda.

Tetapi dek penangan kuasa dan harta; rupa anda yang ‘biasa-biasa’ dikatakan lawa, pidato anda yang tidak sedap dikatakan hebat, pendapat anda yang kolot dikatakan maju, idea yang lapuk dikatakan bernas, pandangan yang lemah dikatakan berhikmah, penampilan yang tidak bermaya dikatakan bercahaya. Semuanya kerana ingin mengampu kuasa dan harta.
Jika anda hidup dalam iklim yang sedemikian, percayalah persahabatan dan pengikut yang mendakwa setia semuanya bohong belaka. Kita hidup dalam alam khayalan seperti berkhayalnya seorang mabuk yang melihat wanita tua bagaikan gadis yang cantik menawan.

Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Carilah prinsip perjuangan yang Allah redha, kita akan bertemu di sana sahabat-sahabat yang setia kerana Allah. Jika anda pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, anda akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan.

Lebih mendukacitakan Allah berfirman: (maksudnya) “Sahabat handai pada hari tersebut (kiamat) bermusuhan antara satu sama lain, kecuali golongan yang bertakwa” (Surah al-Zukhruf: 67).


Ya, seperti mana di dunia mereka melepaskan diri apabila hilang kepentingan yang dicari, di akhirat mereka bermusuhan apabila melihat azab Tuhan yang terhasil dari dosa persahabatan dan pakatan yang pernah mereka lakukan di dunia.

Oh! Di mana hendak dicari teman yang sejati? Ya! Carilah perjuangan yang berprinsip dan diredhai Allah, di dataran itulah sahabat-sahabat sekalian akan temui teman yang sejati.

Sunday, February 1, 2009

Antara Dua Cinta


Bila bercakap soal cinta,maka sering timbul di kepala kita ialah cinta sepasang kekasih, cinta antara makhluk, cinta antara lelaki dan perempuan. Malangnya, jarang sekali kita berfikir mengenai persoalan CINTA yang lebih besar dan utama. Tak lain dan x bukan adalah CINTA kepada Khaliq kita, CINTA kepada Tuhan yang menciptakan kita, Tuhan yang menciptakan kita dan seluruh alam ini dgn CINTA, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha PENYAYANG, Tuhan yang mengasihi hamba-hambanya. Siapa lagi kalau bukan ALLAH S.W.T, TUHAN SEKELIAN ALAM.


Itulah realitinya...saban hari wajah kekasih hati pujaan kita diletakkan tempat paling atas dalam hati kita ni. Tapi wajah Khaliq kita diletakkan di tempat yang bawah dalam hati kita. Tidakkah kita rasa berdosa wahai muslimin dan muslimat? Tidakkah kita merasa berdosa kerana 'mensyirikkan' Allah di dalam hati kita ini? Sepatutnya kita merasa cukup berdosa kerana meletakkan sesuatu yang lain yang lebih tinggi dr Allah di dalam hati kita kerana tujuan kita di jadikan di dunia yang fana ini adalah semata-mata untuk menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.


Seringkali bila kita ingin ber'kasih', ber'couple', bercinta atau macam-macam nama yang diberi lagi, kita memberi alasan cinta kerana Allah S.W.T. Tahukah kita akan hakikat cinta kerana Allah? Cinta kerana Allah ialah cinta dan kasih-sayang kita kepada makhluk Allah yang lain, baik lelaki mahupun wanita, kerana untuk mendekatkan diri kepada Allah, menjaga syari'at yang telah ditetapkan oleh Allah dan MENGUATKAN CINTA KITA KEPADA ALLAH. Maka, apabila kita memperkatakan mengenai CINTA kerana Allah, maka sepatutnya Allah diletakkan didalam kedudukan paling tinggi di dalam hati kita, bukannya nama dan wajah kekasih 'sementara' kita itu.


Jadi, disini, marilah kita sama-sama bermuhasabah adakah selama ini pengakuan kita CINTAkan ALLAH itu merupakan satu penghayatan dalam amalan ataupun sekadar retorik semata-mata. Marilah kita membersihkan hati kita daripada CINTA SELAIN ALLAH dan mengukuhkan CINTA ILAHI di carta teratas di dalam Qalbu kita ini. Moga-moga Nur CINTA ILAHi bersinar dengan gemilangnya di hati kita ini insyaAllah.

Dengan ini,ana mengakhiri artikel ana ini dengan satu syair dari penyair sufi,Abdul Ghani..Ya Allah…Ya Rahman…Ya Rahim…Allah Rabbi aku minta izin Bila suatu saat aku jatuh cinta Jangan biarkan cintaku untuk-Mu berkurang Hingga membuatkanku lalai akan adanya Engkau. Allahu Rabbi aku punya pinta Bila suatu saat aku jatuh cinta Penuhilah hatiku dengan bilangan cinta-Mu yang tidak terbatas Biar rasaku pada-Mu tetap utuh. Allah Rabbi Izinkan bila suatu saat aku jatuh hati Pertemukanlah kami Berikanlah kami kesempatan untuk lebih mendekati cinta-Mu Allah Rabbi Pintaku yang terakhir adalah seandainya aku jatuh hatiJangan pernah kau palingkan wajah-Mu dariku Anugerahkanlah aku cinta-Mu Cinta yang tak pernah pupus oleh waktu.sekian...wallahu'lam

Template by - Abdul Munir