Friday, December 11, 2009

Teruskan Perjuangan, Biarpun Di mana Kalian Berada


Salam Ukhuwah, salam penyambung rantaian perjuangan buat seluruh mahasiswa KUIS khususnya dan pembaca sekalian amnya. Kehidupan sebagai insan yang dipinjamkan nyawa dari Allah, pastinya saling memerlukan antara satu sama lain. Segunung mana harta si jutawan kacak, pasti rutin harianya memakan nasi hasil daripada padi yang diusahakan oleh si pesawah kerdil di terik panas bahang sang mentari. Begitulah perkaitan antara kita sesama manusia selaku hambaNya.

Alhamdulillah sahabat sekalian, kita berlepas ke dunia perjuangan yang luas ini dengan akal, hati dan nafsu yang matang, stabil dan realistik insyallah. Perjuangan kita di medan ini ialah perjuangan medan untuk memberi. Berbekalkan perkakas hujah pada kadar kedhaifan yang ada ini farid minta kepada mahasiswa sekalian agar membuka mata, celik minda, terangkan hati untuk kita sama-sama menjeling sahabat-sahabat sebilik dan sekelas dengan kita. Tanpa kita sedari, dengan senyuman manis mereka di siang hari, mereka merintih menangis derita di kala kita memecah kesunyian pada malam hari. Titisan air mata mereka bukanlah titisan air mata duka, akan tetapi titis yang datang dari perasaan tersedar tatkala memikirkan beberapa noktah yang menjadi asas dan prinsip kepada pengalaman di hujung matlamat penghidupan dan ini farid katakan isu kenaikan yuran di KUIS.

Setelah beberapa hari farid bersauh di bumi KUIS ini, farid melihat environment KUIS jauh lebih berbeza dengan ipta yang sebelum ini pernah bergelar mahasiswa di bumi UUM. Disepanjang pengamatan ini, nasihat farid, selama mana kalian berada di Bumi KUIS ini khususnya dan amnya sahabat-sahabta dari ipt lain, tentukanlah jalan mana yang kalian akan rentasi, sama ada jalan yang akan membawa kalian untuk menjadi 'BINTANG' ataupun 'BINATANG'. Janganlah kalian menjadi mahasiswa yang hanya mengamalkan 3K iaitu hanya pergi ke KULIAH semata-mata, membuang masa di KAFE dan menjadi mahasiswa yang bersifat lembab, kaku dan primitif di atas KATIL. Seawal selepas solat subuh, farid melayari dalam laman mahasiswakini.com yang mana mendiskusikan mengenai kebangkitan gerakan mahasiswa malaysia dahulu dan membandingkan kebangkitan mahasiswa pada pasca hari ini yang tidak keterlaluan farid katakan tidak relevan seumpama seperti penulis katakan meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya.

Seperti yang terjadi sekarang ini pada gerakan mahasiswa di KUIS. Bagi farid, Pemahaman masing-masing dalam merintis jalan inipun berbeza-beza sesuai dengan kejernihan fikiran seseorang dan kaedah dalam memanipulasikan untuk mencapai kebenaran. Sesetengah golongan mahasiswa ini fanatik pada gerakan, sehinggakan bila golongan ini kehabisan perkakas hujah, mereka ini akan menggunakan perkakas fitnah. Kerana golongan ini tidak jujur dalam menqalakan khabar.

Kefahaman yang farid maksudkan di sini diibaratkan air hujan sedangkan kejernihan fikiran diibaratkan media di mana jatuhnya air hujan. Air hujan yang jatuh di dalam mangkuk yang bersih akan memiliki sifat air hujan yang murni. Namun bila air hujan jatuh di dalam tempayan maka air hujan akan terpengaruh oleh sifat-sifat tempayan tersebut yang masih tersisa rasa payau dan sebagainya. Padahal sifat air hujan pada asalnya adalah sama.

Demikian pula pemahaman kita terhadap sebuah gerakan, semakin jernih fikiran kita maka pemahaman kita akan semakin dekat dengan kebenaran gerakan ini, namun bila fikiran kita dipenuhi dengan segala emosi kolot, iri hati, dengki, dendam, dan sebagainya, maka pemahaman kita akan menjadi semakin jauh dari kebenaran sesebuah gerakan. Pada kadar kedhaifan ini, Farid tidak menyokong mana-mana pihak sama ada dari pihak MPM, GMS, GKM sekalipun pihak pentadbiran tapi farid melihat pada kebenaran, 1Suara, 1Revolusi, 1Mahasiswa. Perbezaan pendapat dalam kalangan setiap diri mahasiswa itu tidak ada salahnya, sejauh mana kita dapat mengemudi bahtera perjalanan kebenaran berbekalkan syariat Allah dan Sunnatullah.

Seperti kita melihat dunia umpamanya, melalui fikiran kita. Minda, dan fikiran seperti kaca mata, jika menggunakan kaca mata hitam maka kecenderungannya kita melihat segala sesuatu menjadi hitam. Begitu pula jika kita memakai kaca mata merah maka segala sesuatu akan cenderung kelihatan merah. Manakala, jika menggunakan kaca mata bening maka segala sesuatu akan kelihatan apa yang ada padanya, dan hinggalah seterusnya.

Sedarlah wahai sahabatku, kini kita sudah pun melanggan untuk bergelar seorang mahasiswa ISLAM. Maka awasilah perilakumu, jagalah pergaulan serta batasan auratmu dan janganlah kita sengaja mencampakkan diri ke lembah kehinaan yang bisa menjadikan kita ibarat 'BINATANG'. Dihujung penaipan farid pada hari ini, marilah sahabat-sahabat sekalian kita menerobos ke dalam minda-minda setiap inci perjuangan ini di bumi KUIS ini yang penuh barakah ketahap penilaian yang lebih bijak. Biar dicaci, di hina, sekalipun tetapi perjuangan tetap perjuangan yang wajib diteruskan. Genggam dan yakinlah bahawa kebenaran serta janji Allah itu pasti tiba.

Pada nukilan ini farid tidak mempunyai kepentingan untuk mengajar tetapi ia lebih kepada perkongsian hasil perantauan farid di bumi semenanjung ini. Tatkala Farid merenung hutan belantara yang luas terbentang di kiri dan kanan KUIS ini, Hutan tebal yang menyembunyikan 1001 isi dan rahsia, seperti sebuah perjalanan perjuangan sebagai seorang mahasiswa islam yang tidak diketahui akan rupa kembaranya di hari-hari muka.

Salam Perjuangan berpanjangan dari Mahasiswa KUIS.

1 comments:

Islamic_Muslimah said...

Salam Perjuangan untuk semua mahasiswa umumnya dan khasnya pada penulis dan sahabat-sahabat sekalian..

Teruskan perjuangan mu walau di mana berada..hatta, di KUIS, UUM malah institusi2 lain..

Sesungguhnya di mana kalian berada, selagi di bumi Allah yg penuh barakah, kalian akan di uji selagi kalian berada di landasan perjuangan Islam..

Best of luck walau berada dlm mana2 gerakan, pastikan kebenaran yg di tegakkan dan bukan kecelaruan yg di sebarkan..

Rakan Masjid Bukit Kachi..
Ukhuwah di satu,
Fikrah di padu :)


SALAM PERJUANGAN BERPANJANGAN DR MAHASISWA UUM ^_^

Template by - Abdul Munir